Gulintangan ini dikatakan sudah ada sejak zaman Sultan Bolkiah lagi iaitu pada akhir kurun masihi ke-15 dan awal kurun ke-16. Menurut Panglima Raja Haji Mohidin bin Pengarah Parsih, pertumbuhan awal gulintangan berasal dari Kampong Pabalat (Saba). Kampung ini mempunyai puak yang digelar puak Sakai yang telah mendapat kurnia raja bagi mendapat kebenaran dalam menggunakan ‘gegandung’, ‘pisang-pisang’, ‘sapu-sapu air’ dan ‘berpelampang’ bagi mengenangkan jasa puak tersebut yang telah menjumpai negeri Brunei Darussalam ini. Oleh yang demikian, puak-puak lain tidak mendapat kebenaran dalam memainkan peralatan ini kecuali mendapat pertolongan daripada Pateh dan Damong iaitu golongan ternama yang rapat dengan raja. Ini menggambarkan bahawa pada zaman dahulu, gulintangan hanya dapat dimainkan oleh orang atau puak tertentu.
Menurut Haji Ibrahim bin Tahir (seorang ahli dalam bidang pertukangan tembaga), peralatan gulintangan bukan milik tempatan. Malah ia dikatakan berasal dari Jawa yang dibawa masuk oleh pedagang-pedagang. Kebanyakan alat muzik ini datang dari Daerah Biaju, Bolongan dan Semarang. Ketiga-tiga daerah inilah yang dikatakan banyak menghasilkan gulintangan. Dalam mengenal pasti ciri-ciri pembuatan dari ketiga-tiga daerah ini, terdapat tanda-tanda yang membezakan di antara satu dengan lain. Perbezaan yang ketara ialah bahagian bujalnya. Gulintangan buatan Biaju dikatakan bujalnya berbentuk bujur telur yang dibahagi tiga sementara yang lain adalah sebaliknya. Turut dikatakan juga gulintangan buatan Biaju merupakan gulintangan yang terbaik berbanding Bolongan dan Semarang.
Dengan terhasilnya gulintangan buatan Jawa yang cukup bermutu, orang Brunei pun mempunyai rasa ingin mencuba membuat gulintangan. Menurut sejarah, Beliau Daud dan Beliau Bangkul yang berasal dari Kampong Ujung Bukit adalah orang pertama yang mula-mula mencuba membuat gulintangan dengan cara ‘menyampuhnya’ dengan menggunakan ‘rantai kelapa’. Percubaan demi percubaan telah dibuat dan akhirnya mereka pun berjaya. Gulintangan buatan Brunei mula terkenal dan mengambil tempat di pasaran dagang dan diminati oleh orang Brunei terutama puak-puak di pendalaman seperti Dusun, Kedayan, Tutong, Belait dan Murut yang disebabkan oleh mutunya lebih baik daripada buatan Biaju. Dengan terhasilnya gulintangan ini Brunei mula digelar sebagai kota yang menjadi pusat pembuatan tembaga sehinggakan tahap penyebarannya mulai terpancar ke Mindanao, Palawan dan Sarawak.
No comments:
Post a Comment