Pantang larang dalam peralatan Gulintangan:



     Pantang larang dalam memainkan atau memiliki alat muzik gulintangan ini adalah tidak sama pada setiap puak. Masing-masing mereka mempunyai pantang larang tersendiri yang mesti dipatuhi. Sebagai contoh dalam puak Melayu Bruneu, pemilik dalam pemainan alat gulintangan ini mempunyai beberapa peraturan atau pantang larang yang mesti dipatuhi untuk mengelakkan sesuatu keburukan mahupun kerosakan berlaku ke atas harta benda pemilik mahupun pemain gulintangan itu. Puak ini melarang pemilik atau pemain gulintangan ini melangkahi, terlangkahi atau dilangkahi peralatan muzik ini. Jikalau perkara ini berlaku, dipercayai boleh menyebabkan kerosakan pada perkakas tersebut seperti pecah apabila dipalu atau dipukul. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan kerosakan bunyi alat suara itu apabila dimainkan dan mutu persembahannya juga tidak menepati kehendak pemainnya. Sekiranya mereka melanggar pantang tersebut, akibatnya mereka akan mendapat penyakit kulit seperti bisul dan gatal-gatal. Oleh yang demikian, ketika mereka bermain peralatan gulintangan yang telah dilangkahi, maka ia boleh menyebabkan berlaku kesalahan yang tidak sepatutnya terjadi umpamanya membuat pukulan-pukulan yang sumbang.

     Seterusnya dalam masyarakat yang menganut fahaman animisme seperti puak Dusun, Belait dan Murut pula tidak mempunyai pantang larang seperti yang terdapat pada puak Melayu Brunei. Sebaliknya, puak-puak ini hanya melarang masyarakatnya memainkan atau memukul gulintangan apabila berlaku kematian. Akibat daripada mereka yang melanggar pantang larang ini akan didenda sama ada berupa wang atau dengan benda milik mereka seperti gong, canang dan lain-lain mengikut adat. 

No comments:

Post a Comment