Daripada kesan positif dalam memiliki peralatan gulintangan ini di kalangan puak di negara ini, dengan sendirinya wujud satu cara atau teknik permainan yang diamalkan dalam puak itu sendiri. Ia merangkumi jumlah peralatan muzik yang digunakan, irama yang dimiliki atau selalu dimainkan sehingga setiap puak ada irama gulintangan mereka sendiri. Setiap teknik atau cara bermain gulintangan setiap puak adalah tidak sama. Berikut adalah cara bermain dalam puak-puak.
1. Dalam puak Melayu Brunei, sebagai indung permainan dimulakan dengan pukulan gendang labik dan penutupnya pula pukulan sumbang gulintangan. Antara penggual gendang labik dengan penggual gulintangan mestilah orang yang benar-benar berpengalaman dan mahir kerana penggual gulintangan mesti tahu apa irama yang dimainkan oleh penggual gendang labik ketika ia memulakan pukulannya. Begitu juga sebaliknya apabila tiba pada saat penamat sesuatu permainan. Penggual gendang labik akan mengubah pukulannya kepada irama Kudidi sebaik sahaja penggual gulintangan menggantung ‘pukulan duanya’. Terdapat satu syarat atau ciri khusus iaitu apa sahaja irama yang dimainkan mestilah diubah kepada irama Kudidi. Peralatan yang lazim digunakan dalam permainan ialah dimulakan dengan gendang labik, kemudian canang dua dan canang tiga, agung atau gong, gulintangan dan akhir sekali tawak-tawak. Irama gulintangan juga boleh dikatakan sebahagian besarnya berkisar untuk hari perkahwinan, hari keramaian dan pencak silat.
2. Sebagaimana puak Melayu Brunei menggunakan gendang labik sebagai indung permainan, demikian juga bagi puak Tutong. Puak ini menggunakan ‘dombak parang’ sebagai indung permainan. Kemudian baru diikuti oleh alat-alat yang lain. Peralatan yang mereka gunakan adalah dombak parang, gulintangan, canang, gong, tawak-tawak peningkul, tawak-tawak peningkah dan teritik.
3. Puak Dusun juga mengikut jejak puak Melayu Brunei dan Tutong iaitu memulakan permainan dengan pukulan gendang labik. Seterusnya baru diikuti oleh gulintangan, tawak-tawak, gong dan canang. Dalam puak ini, peralatan yang digunakan adalah gendang labik, gulintangan, gong, canang besar, canang kecil dan tawak-tawak.
4. Dalam puak Belait juga memulakan permainan gulintangan dengan pukulan gendang labik dan seterusnya diikuti dengan alat muzik lain. Begitu juga dalam menamatkan permainan, penggual gendang labik akan mempercepatkan pukulannya bagi memberi isyarat kepada penggual peralatan yang lain. Tahap kefahaman antara penggual gendang labik dan penggual gulintangan adalah wajar di antara satu dengan yang lain bagi memahami ciri-ciri irama yang hendak dimainkan. Peralatan yang digunakan adalah gulintangan, gendang labik, gong, canang dan tawak-tawak.
5. Seterusnya puak Murut pula mempunyai perbezaan dari puak-puak sebelumnya iaitu mereka akan memulakan permainan dengan memulakan pukulan canang, kemudian diikuti oleh gulintangan, gong dan tawak-tawak. Bagi menamatkan satu-satu permainan, tidak ada satu isyarat tertentu ditetapkan. Andainya salah satu alat muzik itu berhenti bermain maka penggual alat yang lainnya juga akan turut berhenti. Di sini ada kelainan dalam corak permainan puak Murut dengan puak-puak lain. Peralatan yang digunakan adalah gulintangan, gong, canang dan tawak-tawak. Dalam puak Murut tidak ada peralatan gendang labik digunakan.
No comments:
Post a Comment