Irama Gulintangan:



    Di kalangan puak-puak asli Brunei, mereka masing-masing mempunyai irama gulintangannya yang tersendiri. Biasanya permainan gulintangan di antara puak-puak tersebut tidak mudah diketahui atau dimainkan kecuali pada musim-musim hari perayaan keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Ketika inilah terdapat kesempatan bagi puak-puak asli Brunei mempersembahkan corak kebudayaan masing-masing, baik berupa tarian mahupun permainan muzik tradisional gulintangan. Di bawah ini telah kami terangkan irama gulintangan bagi setiap puak.

1.     Menurut Awang Haji Mayalin bin Rendah, sebahagian irama gulintangan yang terdapat dalam puak Melayu Brunei berasal dari Kampong Setia Pahlawan Lama. Irama ini telah diwariskan oleh datuknya, Beliau Ladi yang merupakan seorang pemain gulintangan yang mahir pada zamannya. Terdapat sembilan irama gulintangan dalam puak Melayu Brunei. Di antaranya ialah Seri Rama, Kudidi, Ayasan, Sakai, Hujan Lari, Raja Sehari, Seri Rama Boyan, Abut-Abut dan Gelombang Bertaduh. Akan tetapi, irama Seri Rama Boyan, Abut-Abut dan Gelombang Bertaduh telah hilang disebabkan sudah tidak ada seorang pun waris atau orang yang dapat mengingat irama tersebut.

  •      Irama Seri Rama berasal daripada perkataan ‘Sairama’ yang bererti penyesuaian bunyi rentak dan irama gendang yang dimainkan. Iramanya lebih sesuai mengiringi permainan pencak silat. Ia juga sering dimainkan pada masa hari keramaian seperti malam berjaga-jaga dan hari perkahwinan.
  •    Irama Kudidi pula berasal daripada nama seorang perempuan yang bernama ‘Si Didi’ yang pandai dalam permainan gendang labik. Mungkin sejarah pertumbuhannya sama dengan irama ‘Seri Rama’. Rentaknya tidak pula cepat dan tidak terlampau lambat. Cara pukulannya pula agak berbeza dengan Seri Rama.
  •    Irama Sakai diambil daripada nama ras/suku bangsa Sakai. Puak yang berasal dari Kampong Pabalat adalah puak yang mendapat kebenaran memakai gegandung, pisang-pisang, sapu-sapu air dan berpelampang bagi mengenangkan jasa puak tersebut mendapatkan negeri Brunei. Walau bagaimanapun, Sakai bukan sahaja khusus dimainkan oleh puak Sakai malah sebaliknya.
  •     Irama Hujan Lari ini telah dipadankan dengan rentak bunyi hujan. Tidak ada irama khusus untuk hujan lari. Sebarang irama boleh dimainkan, baik Seri Rama, Kudidi, atau Ayasan. Cuma yang membezakannya ialah rentak pukulannya iaitu pukulan pada mulanya kuat kemudian perlahahan kuat perlahan begitulah bergilir-gilir seperti bunyi hujan lari. Ia tidak sesuai dimainkan untuk permainan pencak silat tetapi sering dimainkan dalam majlis perkahwinan atau hari keramaian.
  •    Irama Ayasan pula berasal daripada perkataan ‘ayas’ mendapat akhiran ‘an’. Secara relatif bermaksud irama yang rancak atau cepat.
  •   Irama Raja Sehari merupakan irama yang selalu dimainkan ketika hari perkahwinan. Mempunyai ciri-ciri khas atau petanda apabila kedengaran dimainkan dalam suatu majlis perkahwinan menandakan pengantin lelaki sudah datang atau tiba di rumah pengantin perempuan. Tetapi tidak juga menjadi masalah jika ia dimainkan bagi tujuan bersuka-suka dalam majlis keramaian.

2.    Puak Tutong pula memiliki lapan irama gulintangan yang di antaranya ialah Bangkar, Raja Berangkat, Raja Lalu, Ibang-Ibang, Sayau, Mengalai, Bingkuk dan Teritik. Kebanyakan irama ini dimainkan dalam majlis keramaian, malam berjaga-jaga dan majlis perkahwinan. Irama Bangkar pula gendang wajib dibawakan semasa mengarak pengantin lelaki menuju ke rumah pengantin perempuan. Oleh kerana pada zaman dahulu puak Tutong tinggal di tepi-tepi sungai, maka mereka pun akan membuat ‘bangkar’ apabila mengadakan majlis perkahwinan. Bangkar terdiri daripada beberapa buah perahu yang digandingkan menjadi satu yang akan mengarak pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan. Bangkar ini dihiasi dengan daun bulan dan bunga-bungaan. Dalam sepanjang perjalanan itu, irama Bangkar akan dimainkan. Selain itu, irama Raja Berangkat dan Raja Lalu juga penting yang biasanya dimainkan ketika sultan melawat ke Daerah Tutong atau kampung-kampung di daerah tersebut. Kedatangan baginda sultan akan dialu-alukan dengan irama Raja Berangkat sementara apabila baginda akan beredar dari tempat yang dilawat, irama Raja Lalu pun dimainkan.

3.    Dalam puak Dusun, terdapat sebanyak dua puluh satu irama gulintangan yang terdiri daripada irama Ibang-Ibang, Parang, Aliu Gendang, Emang-Emang, Tolak Bangkar, Taenjul, Tampuk Pinang, Balik Sunsang, Raja Lalu, Tinting Duduk, Pi Butan, Sanarankong, Gatui, Sang Luba, Gendang Kuku Narum, Gendang Kuku Tampuk Ulu, Ukab Adau, Gabas, Pancak, Kijat dan Gendang Kuku. Kebaanyakan irama-irama ini dimainkan sewaktu upacara Tamaruk. Tamaruk merupakan adat makan beras baru selepas mengetam. Namun di antara irama itu juga boleh dimainkan untuk tujuan bersuka-suka seperti di majlis perkahwinan dan hiburan. Sebagai contoh, irama Ibang-Ibang digunakan untuk mengiringi tarian Ancayau.

4.    Puak Belait pula mempunyai empat belas irama gulintangan. Di antaranya ialah irama Ibang-Ibang, Parang, Lambat, Seri Alam, Gendang Belait, Pengalaian, Tiga-Tiga, Labik, Bangkar, Silat, Dombak, Gendang Belait Dua, Langkas Nakud Dalai, Perakung, Dua-Dua dan Sabih Gotui. Dalam banyak irama yang disebutkan, hanya tujuh irama sahaja yang sering dimainkan di acara-acara keramaian iaitu irama Ibang-Ibang, Parang, Lambat, Seri Alam, Pengalaian, Latui dan Sabih Gotui. Selain itu, terdapat juga irama-irama yang diiringi dengan tarian alai iaitu irama Ibang-Ibang, Parang, Lambat, Seri Alam,  Pengalaian, Gendang Belait dan Sabih Gotui. Misalnya irama Sabih Gotui diiringi dengan tarian Alai Sekap. Irama Ibang-Ibang merupakan kepala gendang daripada keseluruhan irama yang ada dalam puak Belait. Menurut dialek, Ibang-Ibang bermaksud berpusing-pusing. Ia bersifat sebagai gendang pembukaan dan ucapan selamat kepada pendengar sebelum irama lain dimainkan. Irama ini dipercayai sebagai tanda selamat dan tolak bala dalam permainan. Dalam puak Belait, terdapat juga irama gulintangan yang tabu untuk dimainkan hingga sekarang. Di antaranya ialah Gendang Perakung dan Gendang Dua-Dua yang dilarang keras untuk dimainkan dalam apa jua majlis kerana bentuknya berupa pemujaan dalam permainan tengkorak dan bertentangan dengan agama Islam.

5.    Puak Murut pula hanya mempunyai dua irama gulintangan iaitu Tubang Ulai dan Tubang Ngalai. Kedua-dua irama ini selalu dimainkan dalam upacara minum tuak dan majlis perkahwinan. Tubang Ulai hampir sama maksudnya dengan gendang Beranyut dalam bahasa Melayu yang dimainkan dalam upacara minum-minum selepas mengetam padi baru. Upacara ini dipanggil Pengarasuk atau Tamaruk dalam puak Dusun. Tubang Ngalai (tubang begendang, ngalai-ngalai atau mengajat) pula selalunya dimainkan dalam majlis perkahwinan atau untuk mengiringi pencak silat. Selain itu, kedua-dua irama ini juga sering dimainkan di hari keputeraan sultan dan temasya bersuka-suka dalam puak Murut. 


     Di bawah ini menunjukan beberapa chord irama gulintangan:







No comments:

Post a Comment